Bismillah...
Dalam sebuah hadis yang ringkas, Rasulullah saw bersabda:
Man la yahtam min amril muslim, falaisa minhum!
Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan umat islam, maka dia bukan daripada mereka!
Hadis ini dengan tegas menyatakan bahawa orang muslim yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin bukanlah orang muslim yang sebenar.
Hari ini saudara seislam kita berjuang mempertahankan Al-Aqsa dengan jiwa mereka. Kita bahkan nak berdoa untuk mereka pun sukar. Apatah lagi nak menderma ke tabung-tabung pembebasan Al-Aqsa. Kita berhabis duit di restoran-restoran yang mahal untuk memuaskan nafsu makan kita tapi hanya mencari nilai terkecil di dalam dompet untuk diinfaqkan ke jalan Allah.
Hari ini juga di tanah arab, rakyatnya bangkit melawan para diktator taghut sehingga mereka dibunuh dan diseksa dengan amat kejam sekali. Selepas Tunisia dan Mesir, kita dikejutkan pula oleh pembunuhan kejam oleh rejim Assad ke atas rakyat Syria. Rejim syiah ini dengan dibantu oleh Iran dan Hizbullah telah membunuh saudara seislam seaqidah kita. Apakah kita ambil berat tentang semua ini? Adakah kita mendoakan mereka setiap selesai solat?
Inilah buih yang tak bermanfaat yang dimaksudkan oleh ayat al-Quran dalam surah Ar-Ra'd. Inilah juga 'umat makanan dalam talam' seperti yang disebut Rasulullah saw. Kuantiti hanya jadi beban. Kualiti hanya cukup makan.
Marilah kita bina kembali ukhuwwah yang didasari oleh ruh iman. Sehingga kita juga merasai kesakitan yang mereka rasakan. Kita juga merasakan kesan tembakan. Kita juga merasai sakitnya seksaan. Kerana umat islam itu satu jasad.
Marilah kita doakan saudara-saudara kita di seluruh dunia terutama di Palestin, Syria, Mesir, Selatan Thailand, Mindanao, Kashmir, Chechnya, Bosnia dan China. Alirkan air mata cinta kita dalam hembusan doa untuk mereka. Astaghfirullahal'azim. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita.
0 shuriken:
Post a Comment