Wednesday, August 06, 2014

Ke Arah Malaysia Yang Lebih Baik

Bismillah...


Tidak dapat dipastikan bilakah rasisme bermula. Namun penyiksaan Firaun dan pengikutnya ke atas bangsa Qibti di Mesir mungkin antara peristiwa awal yang menunjukkan sikap rasis yang ekstrem menjadi asas kepada pemerintah yang kejam. 

Dalam sejarah Islam, antara peristiwa sejarah yang menampilkan anasir rasisme ialah peristiwa di mana Abu Dzar radiyallahuanhu menghina Bilal bin Rabah radiyallahuanhu atas dasar perbezaan warna kulit. Sehingga Nabi saw menempelak sikap Abu Dzar dengan sifat jahiliyah.

Dalam sejarah moden kita melihat bagaimana sikap pengikut ideologi Nazi yang terlalu taksub kepada bangsa sehingga menghalalkan darah bangsa selainnya. Begitu juga kejadian Apartheid di Afrika Selatan, Holocaust di Eropah, Transatlantic Slave Trade di Amerika Syarikat dan Rubber Booms di Amerika Selatan.

Sejarah terus mencatat bahawa rasisme akan terus digunakan atau mungkin lebih sesuai 'dipergunakan' untuk mencapai kepentingan politik dengan menghalalkan semua cara termasuk menindas dan mencabul hak asasi bangsa lain.

Mengambil kira 'racial tension' atau ketegangan kaum yang sedang melanda Malaysia pada ketika ini, adalah tidak menghairankan kerana apa yang berlaku hanyalah pengulangan terhadap sejarah. Kaum zalim dan penindas akan terus menggunakan modal yang sama demi 'political survivor' atau kelangsungan politik mereka.

Klaim tentang 'supremacy' bangsa Melayu ke atas bangsa lain diulang-ulang sehingga lahirlah kelompok Ultra-Melayu seperti Perkasa dan Jalur Tiga atau Jati. Kelompok ini dibiarkan bebas mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berunsur rasis tanpa diambil tindakan di bawah Akta Hasutan.

Keadaan menjadi semakin membarah apabila ada di kalangan ahli politik, alim ulama dan tokoh masyarakat turut melaung-laungkan slogan perkauman untuk merasionalisasikan agenda masing-masing. Seolah-olah mereka kebal daripada semua tindakan undang-undang. Amat menghairankan!

Allah mencipta manusia bersuku-bangsa supaya saling kenal-mengenal dan hidup harmoni. Saling bantu-membantu dan saling berkasih-sayang. Manusia ialah makhluk sosial yang memerlukan antara satu sama lain. Apa yang membezakan setiap manusia ialah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Kepelbagaian kaum di Malaysia adalah keunikan yang perlu diraikan dengan sikap saling hormat-menghormati dan bekerjasama. Usaha-usaha ke arah membina perpaduan dan kerjasama antara kaum perlu diperkasakan. Penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara merupakan inisiatif yang sangat baik ke arah memperkasa perpaduan nasional.

Peranan kumpulan seperti Negara-Ku untuk menyatukan semua rakyat Malaysia berdasarkan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan perlu disokong dan didukung. Agenda kerjasama kaum dan perpaduan nasional perlu kepada partisipasi semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan dan setiap rakyat Malaysia.

Ingatlah, Malaysia ini adalah milik kita bersama. Marilah sama-sama kita ketepikan perbezaan dan bersatu membina Malaysia yang lebih baik. Katakan TIDAK kepada rasisme! 

0 shuriken:

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template