Tuesday, February 10, 2009

Jahil Tentang Dakwah

Jahil tentang dakwah tidak bermakna bahawa seseorang manusia itu tiada peluang untuk masuk Islam. Para pendakwah tidak perlu merasa gusar dengan perkara ini kerana orang-orang itu sebenarnya tidak boleh disalahkan kerana kejahilan mereka itu. Rasulullah saw pernah bersabda: "Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui." Apabila hadis baginda ini sudah sebati dan dapat difahami oleh setiap pendakwah maka pastinya tiada masalah bagi mereka untuk meneruskan usaha menyebarkan agama Allah. Mereka hanya perlu bersabar dan menanti pertolongan daripada Allah di samping berusaha dengan segenap dayanya. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian orang-orang yang diseru tadi akan dibuka pintu hati mereka oleh Yang Maha Esa untuk menerima iman dan islam. Allah ta'ala berfirman:

"Begitu jugalah keadaan kamu dahulu, lalu Allah menganugerahkan nikmat atas kamu."
(QS: An-Nisa':94)

"Sebenarnya Allah, Dialah yang meimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu orang-orang yang beriman."
(QS Al-Hujuraat:17)

Dan anda sendiri apabila mahu menyampaikan sesuatu idea baru kepada seseorang, mengganti idea lamanya maka sudah tentu anda tahu bahawa idea yang anda ingin sampaikan itu adalah perkara baru baginya. Ini bererti bahawa orang itu langsung tidak tahu menahu tentang idea baru itu. Tidak tahu tentang sesuatu yang baru adalah perkara biasa. Jika kita kembali kepada sejarah silam, kita ada mendapati betapa ramai para sahabat ridhwanullahi 'alaihim yang memusuhi Nabi saw sebelum mereka masuk Islam. Tetapi apabila Allah membukakan pintu hidayah kepada mereka lalu mereka pun memeluk Islam maka kita dapati pula betapa mereka berusaha berhabis-habisan untuk mempertahankan baginda dan agama Islam yang baginda bawa. Mereka sanggup menghabiskan harta-benda dan menggadaikan nyawa mereka sendiri kerana mereka sebenarnya sudah tahu dan sedar tentang hakikat yang dibawa oleh Nabi saw itu.

Oleh itu, jika seseorang pendakwah itu merasakan bahawa tugasnya adalah untuk memperelokkan, maka dia hendaklah bertindak sebagai seorang guru yang sentiasa bersabar dengan karenah murid-muridnya di samping sentiasa mencurahkan ilmu dan mendidik mereka agar menjadi generasi yang berguna kepada diri sendiri, bangsa, negara dan agama. Kaedah dakwah yang digunakan juga hendaklah berubah mengikut kesesuaian tempat dan keadaan. Dengan itu, barulah seruan yang disampaikan berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Asy-syahid Imam Hasan Al-Banna ada membuat perumpamaan:"Jika diletakkan di hadapan kamu dua biji buah; sebiji yang manis dan sebiji lagi yang masam, maka bagaimanakah kamu dapat membezakan mana satukah yang manis dan mana satukah yang masam? Jawapannya sudah tentu dengan merasa kedua-dua biji buah tadi, barulah kita dapat membezakan bah mana yang manis dan buah manakah pula yang masam."

Jelasnya, untuk membuat manusia tahu tentang kemanisan Islam, maka kita mestilah menjadikan mereka merasa apa yang kita cuba sampaikan itu. Apabila mereka sudah merasainya maka mereka tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan lebih banyak lagi. Tetapi dalam usaha supaya mereka dapat merasa itulah, terselit tanggungjawab kita sebagai umat Islam khususnya para pendakwah yang pastinya memerlukan usaha gigih yang tidak mengenal penat lelah.

Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah dari kalangan orang-orang Islam sendiri masih ramai lagi yang tidak mengerti konsep dakwah yang sebenar, bahkan mereka benci kepada pendakwah. Mereka sebenarnya memusuhi Islam tanpa mereka sedari kerana mereka telah dikaburi oleh tipu daya syaitan. Tipu daya ini boleh diperhati melalui media massa yang berbagai cabang di seluruh dunia. Akibatnya para pendakwah dilarang sama sekali untuk menyuarakan hujah atau dakwah mereka di kaca tv atau radio dengan cara yang lebih terbuka. Mereka dikawal oleh undang-undang negara yang kononnya mahu menjaga keamanan negara. Namun kita tetap bersyukur kepada Allah kerana Dia telah memberikan kita kekuatan untuk meneruskan usaha murni ini walaupun dengan susah payah. Allah swt berfirman:

"(Iaitu) orang-orang (mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan, "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu kerana itu takutlah kepada mereka", maka ucapan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab,"Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik penolong".
(QS 'Ali Imran:173)

Di antara kata-kata berbisa yang pernah diucapkan oleh Hasan Al-Banna ialah: "Kita akan memperoleh kemenangan dengan teknik yang paling canggih. Kemudian barulah dunia tahu tentang kita apa yang belum mereka ketahui." Ternyata di sebalik kata-kata berbisa ini ada pengaruh besar yang dapat membangkitkan umat islam untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam seperti suat ketika dahulu. Namun mungkin kita terkejut dengan kata-kata beliau itu. Bagaimanan mungkin kita dapat menang dengan teknik yang tercanggih sedangkan kita tidak punya suatu senjata yang kuat. Russia yang terkenal sebagai sebuah negara komunis terkuat dan hebat dengan senjata-senjata nuklearnya pun boleh jatuh, apatah lagi kita yang tidak ada kekuatan seperti itu.

Bukankah kemenangan itu adalah hak mutlak Allah? Dialah yang menentukan kemenangan dan kekalahan sesuatu bangsa. Dia berkuasa berbuat apa sahaja yang Dia mahu. Apabila Dia perintahkan maka sekelip mata sahaja sesuatu itu boleh terjadi. Hanya dengan berfirman:"Jadilah olehmu" maka sesuatu itupun terjadi. Perhatikanlah pengertian pada ayat yang berikut:

"(Al-Qur'an) ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia dan supaya mereka diberi peringatan dengannya dan supaya mereka mengetahui bahawasanya Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran"
(QS Ibrahim:52)

Seruan yang disampaikan oleh seorang pendakwah itu hendaklah mampu menerangi kegelapan, menunjuki jalan kepada orang buta, memperdengarkan kepada orang pekak, memberi makan kepada orang yang lapar dan menurunkan sayap persengketaan lalu menggantikannya dengan lembayung kasih sayang sesama islam.

Al-Ustaz Abbas As-Siisi
Ath-Thoriq Ilal Qulub
m.s 53 - 58


0 shuriken:

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template