Wednesday, April 13, 2011

Bedah Buku:: Generasi Mendatang Generasi Yang Menang

Penulis: Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi


Sebenarnya dah lama aku beli buku ni. Kat buku ni tertulis November 2009. Seingat aku beli kat BADAN Cemerlang, Plaza Angsana JB. Tempat yang selalu menjadi destinasi riadah otak. Buku nipis je, 97 mukasurat. Mulanya aku lebih berminat kepada nama penulis tapi tajuk buku ni seakan-akan memberikan satu persoalan kepada aku, siapakah generasi mendatang itu? Tak diragukan lagi bahawa Allah pasti akan memenangkan agamaNya walaupun orang-orang kafir benci dan cuba menghalang kemaraannya. Tapi siapakah orang-orang yang akan dimuliakan oleh Allah ini dan apa karakteristik mereka? Itulah persoalan asas dalam buku ni.


Buku ini dimulakan dengan rintihan dan rungutan umat Islam tipikal yang selalu dijumpai dalam masyarakat kita. Orang-orang yang masih beristiqamah dengan Islam serta ajarannya tapi merasa tertekan kesan daripada kemunduran umat Islam di serata dunia. Kenapa umat Islam terus tertindas sedangkan Islam merupakan agama yang benar. Umat Islam adalah umat terbaik di kalangan manusia. Allah pun telah berjanji akan menolong orang-orang yang beriman. Jadi dimanakah silapnya?

Yang pertama sekali umat Islam wajib sedar dan faham bahawa Islam sajalah agama yang benar. Islam saja yang mampu menyelesaikan semua permasalahan umat manusia. Kerana Islam bukan agama ciptaan manusia. Ia adalah agama yang diciptakan oleh Tuhan seluruh manusia. Tuhan yang menciptakan sekalian alam. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Maka Islam adalah ruh umat kita.


Cuma yang menjadi masalah ialah sejauhmana kita telah menunaikan hak-hak Allah ta'ala? Hak Allah sebagai Rabb. Hak Allah sebagai Ilah Yang Maha Esa. Apakah kita layak ditolong dengan nilai keimanan kita sekarang?


Sesungguhnya kemenangan dan pertolongan Allah tak akan datang tanpa sebab. Dalam buku ni Syeikh Al-Qardhawi menyenaraikan tiga hukum kemenangan Islam yang telah aku tulis di note facebook aku sebelum ni. Pertama, kemenangan hanya datang dari sisi Allah. Kekuatan ketenteraan dan sumber material yang lengkap tak berupaya memberi kemenangan tanpa izin daripada Allah ta'ala. Kedua, Allah hanya menolong orang-orang yang menolong agamaNya. Bermakna Allah tak akan memberi kemenangan kepada umat Islam selagimana umat Islam tidak menegakkan segala perintah Allah dan meninggalkan semua laranganNya. Ketiga, kemenangan dalam ertikata yang sebenarnya hanya ekslusif untuk orang-orang beriman sahaja. Bagi orang-orang beriman hanya ada dua pilihan: hidup meraih kemuliaan atau mati sebagai syuhada dan merebut syurgaNya. Syeikh juga menjelaskan betapa pentingnya keimanan itu disemai dan dijaga dengan baik sehingga membuahkan buah yang baik pula.


Akhir sekali, diceritakan secara panjang lebar mengenai karakteristik generasi yang menang. Apa yang menarik dalam buku ini ialah hampir semua hujah disertai dengan dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Generasi ini adalah generasi yang sentiasa membela kebenaran. Generasi ini sentiasa menentang kemungkaran dan kekufuran sekeras-kerasnya. Generasi ini bergandingan lelaki dan perempuan dalam al-Haq. Generasi yang berpegang kepada ilmu dan fakta. Generasi Rabbani yang sentiasa ikhlas dalam perjuangan. Generasi yang orientasinya sentiasa mengarah kepada Islam. Generasi yang selalu berdakwah dan berjihad dengan penuh kesungguhan. Generasi yang mempertahankan tajarrudnya dalam suasana masyarakat yang rosak dan selalu berusaha mengubah segala kerosakan itu. Generasi yang seimbang dan melaksanakan keadilan. Serta generasi Al-Awwabun Taibun iaitu takut bermaksiat kepada Allah. Inilah generasi harapan kita, insyaAllah.


Allahua'lam.



0 shuriken:

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template