Tuesday, April 07, 2009

Fitrah Homo Sapiens

Tiada manusia yang sentiasa taat sehingga tidak pernah membuat kesalahan, maksiat atau dosa. Dan begitu juga, tidak ada manusia yang sentiasa bermaksiat sehingga tidak pernah melakukan kebaikan dan pahala. Iman itu sifatnya turun dan naik. Ibarat telur di dalam air yang mendidih - sentiasa berbolak-balik. Lebih mudah terlepas daripada unta yang tidak diikat. Ia sentiasa diuji oleh Yang Maha Mengetahui Segala Sesuatu. Siapakah yang paling baik amalnya.

Begitulah seharusnya kita memandang manusia. Anak Adam sentiasa terdedah kepada hasutan dan godaan iblis laknatullah dan anak beranaknya. Sejak hari pertama pengingkaran terhadap Allah atas penciptaan Adam a.s, iblis telah bersumpah akan mengerahkan seluruh kekuatan dan upayanya untuk mengheret manusia ke dalam neraka jahanam bersama-samanya. Kecuali orang-orang yang ikhlas. Dia akan menjadikan perkara buruk menjadi baik di mata manusia dan perkara baik dijadikan terasa seburuk-buruknya. Kerana itulah, kita sering pelik melihat gelagat manusia yang tegar mempertahankan perbuatan-perbuatannya yang buruk. Atau tanpa segan silu melakukan kemaksiatan di tempat terbuka tanpa sedikitpun rasa bersalah.

Jadi, untuk menghadapi manusia-manusia yang dikuasai oleh syaitan-syaitan ini diperlukan kekuatan dan pertahanan diri yang ampuh. Tidak perlu kepada tangkal, azimat dan jampi serapah. Cukuplah keimanan mendalam kepada Allah SWT, kerana Dialah pemilik semua makhluk-makhluk itu. Wallahua'lam.

0 shuriken:

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template