Thursday, April 23, 2009

Golongan Baik Yang Dibinasakan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Segala puji hanya bagi Allah Tuhan seru sekalian alam. Selawat dan salam semoga tercurahkan kepada Rasulullah saw, qudwah hasanah, para ahli bait baginda, para sahabat dan sahabiah, para tabi'in dan tabi' tabi'in serta orang-orang yang mengikuti mereka itu dengan baik hingga hari pengadilan, yaumul qiyamah. Hanya kepadaNya saja aku memuji, kepadaNya saja aku meminta pertolongan dan kepadaNya saja aku memohon keampunan. Aku berlindung kepadaNya dari kejahatan diriku dan keburukan amal-amalku. Barangsiapa diberi petunjuk oleh Allah maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa yang disesatkanNya maka tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan pesuruh Allah.

Firman Allah Swt dalam Al-Quranul Karim:

"Dan tetaplah memberi peringatan kerana peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman" (Adz-Dzariyaat:55)

Tajuk kali ini sebenarnya aku ambil daripada buku Al-Muntalaq (juga dikenal dengan nama Langkah Bermula atau Titik Tolak) karangan Syeikh Dakwah Muhammad Ahmad Ar-Rasyid. Sejujurnya, sebelum aku membaca buku ini, aku telah berbincang-bincang dengan rakan-rakan yang lain di dalam usrah mengenai kisah hari sabat yang sangat berkait rapat dengan tajuk ini.

Perhatikanlah dengan teliti firman Allah Swt di dalam surah Al-A'raaf ayat 163 hingga 165:

"Dan tanyakanlah kepada Bani Israel tentang negeri yang terletak di dekat laut ketika mereka melanggar peraturan hari sabat* iaitu ketika datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di sekitar) mereka terapung-apung di permukaan air, padahal pada hari-hari yang bukan sabat ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka berlaku fasiq. Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata,"Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab oleh Allah dengan azab yang sangat keras?" Mereka menjawab,"Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu dan agar mereka bertakwa." Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras disebabkan mereka selalu berbuat fasiq."

Begitulah cara kerja Allah Swt. Dia tidak menjadikan ujian melainkan untuk menguji semua orang. Bukan hanya si pelaku kezaliman tetapi juga orang-orang yang dapat dicapai oleh radius kezaliman itu sendiri. Sama ada si zalim ingin bertaubat dan kembali kepada Allah atau orang-orang di sekeliling si zalim bergerak untuk merubah kemungkaran itu. Kedua-duanya diuji tanpa pengecualian. Bezanya hanyalah bertindak atau berdiam diri dan redha dengan segala kemungkaran! Semoga Allah Swt memelihara kita daripada menjadi golongan kedua.
Align CenterKaum-kaum yang dibinasakan

Sebelum pergi lebih lanjut, kisah ini merupakan kisah bani israel Kota Eilah yang terletak di pantai laut merah antara Kota Madyan dan Gunung Sinai. Mereka adalah nelayan-nelayan yang bergantung hidup kepada hasil laut. Mereka disyariatkan beribadat pada hari sabat (sabtu). Mereka tidak dibenarkan melakukan aktiviti-aktiviti lain pada hari sabat. Namun mereka berlaku fasiq lalu Allah menguji mereka dengan ikan-ikan yang timbul di permukaan air pada hari sabat. Lalu Allah mengazab golongan yang zalim di antara mereka. Siapakah yang dimaksudkan dengan golongan yang zalim dalam ayat tersebut?

Dalam kisah ini ada sebuah ibrah (pengajaran) yang sangat besar kepada semua yang mengaku dirinya muslim khususnya para dai ilallah (pendakwah). Di antara golongan yang berbuat kemungkaran dan golongan yang melarang terdapat satu golongan lain iaitu golongan yang berdiam diri. Mereka adalah golongan yang baik. Mereka tidak melanggar perintah Allah pada hari sabat. Tetapi mereka diazab sebagaimana golongan yang berbuat kezaliman itu sendiri. Kenapa? Kerana mereka mengabaikan perintah amar makruf nahi mungkar. Menyuruh manusia berbuat kebajikan, menuruti syariat dan perintah Allah serta mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran, menzalimi diri sendiri dan orang lain.

[Sebagaimana firman Allah Swt:

"Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang-orang yang melarang kejahatan dan kami seksa orang-orang yang zalim dengan azab yang keras disebabkan mereka fasiq"

Allah menyelamatkan orang-orang yang yang menjalankan nahi mungkar. Bagi mereka yang benci kepada dosa dan kejahatan yang berkata:

"Untuk apa kamu menasihati satu kaum yang Allah berkehendak membinasakan mereka atau menyeksa mereka dengan azab yang keras?"

Sebahagian besar dari ulama' menyatakan bahawa mereka itu selamat kerana mereka itu benci kepada kejahatan lalu mereka menyangkal sekadar kemampuan mereka.
Manakala golongan yang tidak menyangkal secara mutlak maka mereka itu juga zalim dan diazab sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Sesungguhnya manusia apabila mereka melihat kemungkaran sedangkan mereka tidak mengubahnya, hampirlah Allah meliputi mereka dengan azab daripadaNya."]

Cuba kita fikirkan dalam keadaan kita sekarang di mana kemungkaran berlaku secara berleluasa, di depan mata kita, berlaku kepada keluarga kita, kepada rakan-rakan kita, kepada orang-orang yang hampir dengan kita, apakah yang telah kita lakukan? Sudahkah kita menasihati mereka? Sudahkan kita menegur mereka? Sudahkah kita mendakwahi mereka? Atau adakah kita redha dengan segala kemungkaran itu? Adakah kita lemah dalam menanggapi semua kefasadan itu? Malah adakah kita termasuk dalam golongan yang berbuat kemungkaran itu? Wal'iyazubillahi min zalik.

Dalam hadis ke-34 dari Hadis Arba'in Nawawiyah:

"Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah mencegah dengan tangannya. Jika tidak mampu, cegahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka cegahlah dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman"

"Melihat" kemungkaran dalam konteks hadis ini bukan dalam erti kata melihat kemungkaran dengan mata kemudian baru boleh mencegahnya. Kalau itu yang dimaksudkan, maka orang yang bertapa dalam gua tempurung kat Perak tentulah terlepas dari kewajipan mencegah kemungkaran. Itupun jika tiada siaran tv, radio atau surat khabar yang sampai ke sana sehingga dia memang betul-betul tidak tahu akan berleluasanya kemungkaran. Tapi itu semua mustahil dengan kecanggihan teknologi zaman sekarang.

"Melihat" di sini merujuk kepada tahu secara pasti akan kemungkaran yang berlaku di sesuatu tempat. Jadi jika anda tahu sesuatu kemungkaran, maka jatuhlah kewajipan untuk mencegah kemungkaran. Jadi, jangan ada yang memberi alasan tidak tahu kerana ia adalah alasan primitif orang-orang paleolitik. (^_^)

Dalam sebuah hadis:

"Sesungguhnya Allah tidak menyeksa orang ramai dengan perbuatan orang-orang tertentu sehingga mereka itu melihat mungkar itu berlaku di tengah-tengah mereka, sedang mereka berkuasa untuk mengingkarinya. Sekiranya mereka berbuat yang demikian itu, maka Allah menyeksa orang ramai dan orang yang tertentu itu."

Besarnya tanggunggjawab kita. Sedikitnya masa kita. Jika kita menyedari betapa banyak dan beratnya tanggunggjawab yang dipikulkan kepada kita maka sudah pasti kita akan memohon kepada Allah agar melambatkan putaran bumi ini. Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna berpesan:

"Al-Wajibat Aksaru Minal Awqat"

Kewajipan lebih banyak dari masa yang ada. Tidak layak bagi kita untuk berdiam diri. Masa yang ada perlu digunakan untuk memenuhi tujuan hidup kita seperti yang telah diperintahkan oleh Allah Swt. Pembaziran masa kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah walaupun sesaat akan menyebabkan penyesalan yang berkepanjangan di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah pasti mempersoalkan setiap detik hidup kita. Sudahkah kita bersedia untuk itu? Apakah jawapan yang hendak kita berikan ketika saksi-saksi mula berbicara?

[Tidak ada jalan untuk melepaskan diri dari kepungan undang-undang azab Allah yang menggerunkan itu kecuali laluan yang boleh menyelamatkannya antaranya:

  1. Menyuruh manusia kepada kebaikan
  2. Melarang manusia daripada kemungkaran
  3. Menentang manusia yang membuat kejahatan dan kerosakan
  4. Melalui jalan dakwah dengan menyeru manusia kepada islam, memanggil mereka untuk segera mendirikan solat, kembali kepada cara hidup islam di segenap jurusan hidup mereka, tunfuk kepada hukum Allah dan menghukum mengikut syariat Allah.
Langkah di atas perlu dijalankan sebelum mereka ditimpa "kanun persamaan" yang merupakan sunnatullah yang meliputi seluruh alam. Tindakan perlu diambil sebelum mereka dibinasakan dan ditimpakan azab kerana melakukan maksiat-maksiat yang menyebabkan Allah membinasakan umat yang lalu. Ini kerana:

"Sesuatu perkara perbandingan itu mengambil hukum perbandingan yang seumpama dengannya dan apa yang terjadi kepada sesuatu, terjadi juga kepada perkara yang seumpama dengannya. Mustahil dua perkara yang sama mempunyai hukum yang berbeza sebagaimana mustahilnya dua perkara berbeza sama hukumnya"

Sesungguhnya undang-undang yang menggerunkan itu tidak difahami oleh sebahagian besar manusia. Mereka ini tidak bersedia untuk memperakuinya. Ia hanya difahami oleh para pendakwah di jalan Allah sahaja. Golongan inilah yang mesti melaksanakan tugas menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran supaya selamat dari azab dunia dan akhirat dan tenang daripada ketakutan hari datangnya azab.

Wahai saudara-saudara yang budiman dan soleh!

Wahai ahli zuhud dan ahli ibadat!

Di hadapanmu terbentang bahaya kanun Rabbani yang menggerunkan sekiranya kamu membisu seribu bahasa.

Janganlah kamu diperdayakan oleh kezuhudanmu dan solatmu

Sampaikanlah kebenaran, suruhlah manusia membuat kebaikan dan laranglah mereka dari kemungkaran dan kejahatan

Kalau tidak tunggulah saat kebinasaan dan kemusnahan.]

Allahua'lam

Rujukan:

1. Al-Quranul Karim
2. Arba'in Nawawiyah (Hadis 40: Mustafa Abdul Rahman)
3. Al-Muntalaq

p/s dalam bracket [...] dipetik daripada Al-Muntalaq...

1 shuriken:

seiringsejalan said...

semoga iman ini bukan hanya dalam hati..
semoga diri ini kekuatan diberi..
menegur kini,cukuplah dahulu hanya memerhati.

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template