Sunday, November 08, 2009

Roti Canai

Bismillah...

[versi simple]

Aku masih ingat Aidilfitri baru-baru ni. Abang dan kakak aku balik. Jadi penuhlah rumah dengan riuh anak-anak saudara. Bukan selalu kami berkumpul ramai-ramai begitu. Empat orang anak abang dan dua orang anak kakak aku dah cukup membuatkan rumah tu 'bergegar'. Ceritanya pada suatu pagi lepas satu syawal. Aku tak ingat syawal yang ke berapa.

Aku pergi beli sarapan. Tak tahu nak beli apa. Dalam perjalanan mencari makanan tu ternampak ada orang jual roti canai. Jadi, nak mudah aku singgah jela beli kat situ. Aku beli 15 keping dengan anggaran yang dewasa akan makan 2 keping seorang dan budak-budak makan sekeping atau berkongsi. Aku tak beli makanan yang lain sebab aku rasa dah cukup. Tapi malangnya, roti canai tu tak habis pun. Sampai tengahari masih ada beberapa keping yang tak dijamah. Untuk elakkan pembaziran, maka aku pun terpaksala makan sampai habis. Tapi aku mendapat sebuah pengajaran daripada peristiwa ni.

Aku sedar bahawa tak semua yang kita suka turut disukai oleh orang lain. Mungkin aku suka roti canai tapi adakah adik-beradik aku pun suka? Dah tentu tak. Kalau diorang suka, mesti tak cukup atau sekurang-kurangnya habis. Mungkin aku perlu beli nasi lemak dan kuih-muih yang lain. Begitulah dalam dakwah. Kita tidak boleh memaksa seseorang menyukai apa yang kita suka. Aku pernah membaca sedikit buku "How to Win Friends and Influence People" yang ditulis oleh Dale Carnegie. Salah satu perkara yang beliau utarakan adalah apabila kita bercakap dengan seseorang, pastikan kita bercakap mengenai perkara yang dia sukai. Aku juga masih ingat Habiburrahman El-Shirazy menulis tentang ini dalam buku Ayat-Ayat Cinta. Semasa Fahri berada di dalam tren, dia bersembang dengan seorang pemuda Mesir bernama Ashraf. Dia berbual tentang pasukan bolasepak kegemaran Ashraf sedangkan dia merupakan seorang penuntut Al-Azhar dan hafiz Al-Quran. Katanya mengambil inspirasi daripada buku Ath-Thoriq ilal Qulub - Jalan ke Hati - yang ditulis oleh Ustaz Abbas As-Siisi. Mungkin ia sebuah plot cerita di dalam novel tapi Ustaz Abbas As-Siisi menceritakan pengalaman sebenar beliau. Jadi aku rasa ia relevan. Kita tak boleh memaksa tapi kita boleh beritahu jika kita tak setuju dan kita perlu kemukakan penyelesaian.

Satu lagi yang aku pelajari adalah kita tidak boleh mengukur kemampuan orang lain dengan kemampuan kita. Aku tak sepatutnya anggap orang lain boleh makan dua keping roti canai sepertimana aku mampu habiskan dua keping roti canai. Mungkin ada orang boleh makan separuh atau sekeping je. Dalam dakwah pun sama. Setiap orang punya kemampuan dan kemahuan yang berbeza walaupun dididik dengan cara yang sama. Sebagaimana ramainya orang yang mampu tapi tak mahu begitu jugalah ramainya orang yang mahu tapi dia tak mampu. Aku ada seorang kawan yang setiap dua minggu berulang-alik ke Kuantan untuk membina manusia (buat usrah) dengan hanya menaiki motosikal kapcai. Mungkin itu saja kemampuan yang dia ada tapi dia punya kemahuan yang sangat kuat membuatkan aku malu dengan diri sendiri. Dulu aku pernah merasakan membaca dua juz Al-Quran setiap hari adalah perkara biasa sehingga aku agak memperlecehkan rakan-rakan yang sangat minimal dalam pembacaan Al-Quran. Tapi sekarang aku dah faham sedikit. Masih banyak perlu belajar dan memperbaiki diri. Kita boleh berubah dan mengubah tapi ianya satu proses. Dan proses pasti mengambil masa. Ada proses yang cepat tapi ada juga yang lambat. Sabar dan kuatkan kesabaran. Tawakal kepada Allah.

InsyaAllah, semoga bermanfaat kepada diri sendiri yang sering lupa. Allahua'lam.

2 shuriken:

Unknown said...

selepas berjuang bersama sahabat yang ramai beriringan tangan,

akan tiba masa, kita berjuang dengan sejumlah rakan yang sedikit,

ketika itu, ujian itu tersangat berat,

bertambah tanggungjawab kepada keluarga,

maka adakah kita masih thabat?

walaupun sekelumit, alhamdulillah, masih diberikan ALLAH ruang dan peluangNYA..

andai tidak, maka beristigfarlah..

cantik dan mudah, tidak secantik dan semudah itu...

ibnu yazid said...

semoga kita sentiasa bersedia ke arah tu kerana tak selamanya kita akan ditemani dan didukung oleh orang-orang di sekeliling kita.

di dalam kubur kita akan hadapi fitnah bersendirian.

doa saudaranya yang jauh lebih makbul. kebaikannya semua dapat rasai. insyaAllah.

aja-aja fighting! (^_^")

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template