Friday, January 23, 2009

Adakah Saya Muslim Sebenar?

Mengapa Agama Ini Dinamai Islam

Ada pun bermacam-macam agama yang ada di muka bumi ini memperoleh namanya masing-masing adakalanya dibangsakan kepada nama seorang lelaki yang khas atau kepada umat yang tertentu yang menumbuhkan dan menyuburkan agama berkenaan. Agama Masehi mislanya mengambil namanya daripada Al-Masih (Nabi Isa a.s). Agama Buddha diambil daripada nama pembawanya, Gautama Buddha. Manakala agama Zarathustra dimahsyurkan demikian kerana pendirinya dan pembawa panji-panjinya bernama Zarathustra. Demikian juga agama yahudi muncul di atas pengakuan suatu kabilah yan dikenal dengan nama kabilah Yehuda, maka agama itupun dinamai Yahudi.

Berlainan dengan agama Islam. Ia tidak dibangsakan kepada seorang lelaki yang khas dan tidak kepada umat yang tertentu. Nama Islam itu menunjukkan sifat yang khas yang dikandung oleh makna perkataan "islam" itu sendiri. Nyatanya, nama ini tidak menunjukkan pembawa atau pengasasnya iaitu seorang lelaki di antara manusia. Ia bukan khas bagi umat yang tertentu melainkan seluruh bangsa-bangsa. Ia mempunyai matlamat untuk menghiasi seluruh penduduk bumi ini dengan sifat Islam. Siapa saja yang bersifat dengan sifat ini, baik manusia pada zaman dahulu ataupun manusia pada zaman ini, ia adalah Muslim, juga orang yang berhias dengannya pada masa depan adalah seorang Muslim.


Makna Perkataan Islam


Apabila anda memeriksa kamus, anda akan mengetahui bahawa makna perkataan Islam adalah "tunduk dan patuh kepada perintah Yang Maha Pemerintah dan laranganNya tanpa bantahan". Dinamai agama kita ini dengan Islam kerana ia mengajarkan kepatuhan kepada Allah dan tunduk kepada perintahNya tanpa membantah.


Hakikat Islam

Adalah dimaklumi bahawa setiap sesuatu yang ada di alam ini tertakluk kepada kaedah tertentu dan undang-undang yang khas. Matahari, bulan dan bintang-bintang menjalani peredarannya mengikut suatu kaedah yang tetap. Ia tidak menyimpang dari kaedah itu dan tidak terkeluar meskipun sesimpul rambut. Bumi beredar di sekeliling paksinya, tidak bergerak lebih daripada kadar yang ditentukan baginya. Pergerakan dan perjalanan gerakannya tidak berlain dan tidak bertukar. Air, udara, cahaya dan panas, semuanya berlaku mengikut peraturan yang khas. Benda-benda beku, tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang, semuanya mengikut cara yang tetap, tidak mengembang dan tidak menyusut, tidak hidup dan tidak mati melainkan dengan kehendak pengaturnya. Bahkan manusia sendiri, apabila anda perhatikan keadaannya, nyatalah kepada anda bahawa ia tunduk kepada ketentuan tabi'i sepenuhnya. Ia tidak bernafas dan tidak merasakan hajatnya akan air, makanan, cahaya dan panas melainkan mengikut undang-undang tabi'i yang berkenaan dengan hidupnya. Dan kerana adanya undang-undang inilah, dengan sendirinya hati manusia terpandu dalam gerak-gerinya, dalam peredaran darahnya, dalam keluar masuk nafasnya. Kepadanya tertakluk seluruh anggota tubuhnya seperti otak, perut, paru-paru, urat saraf, urat-urat daging, dua tangan, dua kaki, dua mata, lidah, hidung dan telinga. Segala pekerjaan yang dilakukan oleh anggota-anggota ini tidak akan berlaku melainkan mengikut apa yang ditentukan oleh tabi'i. Mereka tidak akan melakukan apa-apa melainkan sejauh jalan yang telah ditetapkan baginya.

Adapun undang-undang semesta, yang kepadanya seluruh alam wujud ini menyerah dan tiada kuasa baginya menghindarinya mulai dari planet yang terbesar di langit sampai kepada butir pasir yang paling kecil di muka bumi, adalah ciptaan Maha Pemilik, Maha Agung dan Maha Berkuasa. Apabila setiap yang ada di langit, di bumi dan di antara keduanya tertakluk kepada undang-undang ini, maka alam seluruhnya tunduk kepada pemilik yang maha berkuasa itu, yakni yang menciptanya; ia mengikut akan segala perintahNya. Dari sudut ini, nyata Islam itu adalah agama sejagat semesta, kerana Islam bermakna takluk dan mengikut segala perintah Maha Pemerintah dan menjauhi laranganNya tanpa bantahan sebagai yang anda ketahui terdahulu. Matahari, bulan dan bumi adalah Muslim. Udara, air, cahaya, kegelapan dan panas adalah Muslim. Pohon, batu dan haiwan adalah Muslim. Bahkan juga manusia yang tidak mengenal Tuhannya dan yang mengingkari tanda-tanda kebesaranNya, atau orang yang bertuhankan selain Allah atau menekutukan Allah dengan sesuatu adalah seorang Muslim dari segi fitrah yang telah difitrahkan kepadanya. Yang demikian itu, kerana ia tidak dilahirkan, tidak hidup dan tidak mati melainkan sesuai dengan apa yang telah digariskan oleh Allah ta'ala di dalam undang-undang yang mengatur kelahirannya, yang mengatur hidup dan matinya. Demikian juga, setiap anggota tubuhnya tidak menganut sesuatu agama melainkan agama Islam. Kerana ia tidak terjadi, tidak menjadi besar, tidak bergerak melainkan mengikut undang-undang Tuhan itu sendiri. Bahkan pada hakikatnya, lidahnya yang dipergunakan untuk menzahirkan pandangan-pandangan syirik dan kufur secara bodoh dan jahat, tidak menganut agama -dalam dirinya- melainkan agama Islam. Demikian juga kepalanya yang memaksanya tunduk di hadapan yang lain daripada Allah tidak menganut sesuatu agama melainkan agama Islam, mengikut fitrahnya yang telah difitrahkan ke atasnya. Demikian juga hatinya yang mengaliri dirinya dengan cinta kepada selain Allah dan penghormatannya kepada kejahilan dan kejahatan, seluruhnya ini adalah Muslim dari sisi fitrahnya dan semulajadinya. Maka semuanya itu telah Islam kepada Allah dan mengikut undang-undangnya.

Jika anda telah memahami ini, marilah kita lihat pula dari sudut yang lain.

Bagi manusia, dalam hidupnya ada dua pihak yang berlainan.


Pertama

Ia tunduk kepada undang-undang fitrah, mengikutinya begitu saja. Yang lain, kepadanya didatangkan akal, kekuatan berfaham ketelitian dan pandangan, maka ia menjadi Islam pada satu pihak dan ingkar pada yang lain. Ia menyukai satu jalan dan membenci cara yang lainnya. Diletakkannya dalam dirinya pengawal bagi sudut-sudut kehidupan yang bermacam-macam itu. Atau ia menerima peraturan-peraturan kehidupan yang diletakkan oleh orang lain. Ia tidak terbelenggu di dunia ini. Bahkan ia mempunyai kemerdekaan berfikir dan memilih dalam pandangan dan perbuatan.

Ini adalah dua golongan yang berlainan yang dijumpai dalam hidup manusia. Setiap orang mengikuti apa yang ada padanya.

Golongan yang pertama adalah Muslim yang telah tercipta atas Islam dan telah terfitrah untuk melaziminya. Ia menyertai makhluk lain di alam ini. Ini telahpun anda ketahui terdahulu.


Golongan yang lain

Islam atau tidaknya adalah dengan pilihan. Dan pilihan ini menyebabkan manusia tergolong dalam dua golongan:

Manusia yang mengenal penciptanya, beriman kepadaNya sebagai Tuhan, pemilik dan tuan bagi dirinya. Ia mengikuti undang-undang syara'Nya di dalam kehidupan pilihannya (ikhtiyariyyah) sebagaimana ia menurut kepada undang-undang tabi'inya dalam kehidupan paksaannya (jabariyyah). Inilah orang Muslim yang sempurna, yang telah menyempurnakan Islamnya, kerana kehidupannya sekarang telah menjadi Islam itu sendiri. Ia telah menundukkan diri -secara suka dan taat- kepada yang dipatuhinya dan yang ia terikat kepada undang-undangNya tanpa perasaan sebelumnya. Dan jadilah ia sekarang -secara qasad dan sengaja- taat kepada Tuhannya yang sebelum itu dipatuhinya tanpa qasad an kemahuan. Dan jadilah ilmunya benar, kerana ia mengenal Allah penciptanya dan Tuhannya yang telah mengurniakan kepadanya kekuatan ilmu dan belajar. Dan jadilah akalnya matang dan pandangannya kemas kerana dia mengamalkan fikirannya kemudian ia menetapkan hukum hukum bahawa ia tidak akan mengabdikan dirinya melainkan kepada Allah yang telah memberinya kemuliaan dengan kebijakan berfaham dan berfikir di dalam pelbagai perkara. Dan jadilah lidahnya benar, memperkatakan yang haq kerana ia sekarang tidak berikrar melainkan kepada Tuhan yang Esa ialah Allah Yang Maha Tinggi yang telah mengurniakan kepadanya kekuatan berucap dan berkata. Tiadalah yang tinggal lagi sekarang di dalam kehidupannya melainkan kebenaran kerana ia terikat kepada undang-undang Allah kerana ia telah memilihnya di dalam urusannya. Dan menjadi panjanglah tonggak perkenalan dan keramah-tamahan antara dirinya dengan semua makhluk di alam ini, kerana ia tidak mengabdi melainkan kepada Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Tuhan yang kepadaNya seluruh makhluk ini memperhambakan diri, tunduk kepada perintahNya, dan terikat kepada undang-undangNya. Sekarang jadilah dia khalifah Allah iaitu wakilNya di muka bumi ini. Setiap benda di dunia adalah untuknya. Dan dirinya adalah untuk Allah ta'ala sendiriNya.

Wallahua'lam
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Asas-asas Islam
Abul A'la Al-Maududi

0 shuriken:

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template