Sunday, January 18, 2009

Asy-syahid Syed Qutb

Dilahirkan pada tahun 1906di sebuah kampung di dalam wilayah As-yut, Mesir, dari keluarga berada yang patuh dan taat beragama. Sejak di bangku sekolah rendah lagi telah menunjukkan kecerdikan dan kepandaiannya dan memiliki bakat menulis yang luar biasa. Khatam menghafal al-Quran ketika berumur 10 tahun. Meneruskan pelajaran di Universiti Kaherah.

Berminat di lapangan penulisan dan sastera sejak dari bangku sekolah rendah dan buku karangannya yang pertama kali diterbitkan ialah sewaktu beliau berumur 25 tahun.

Di bidang sastera, beliau telah terpengaruh oleh aliran al-Akkad, seorang pujangga Arab yang terkemuka di abad ini. Kemudian beliau memilih alirannya sendiri sebagai seorang sasterawan dan pujangga Islam sehingga ke akhir hayat.

Mulai menjadi ahli pertubuhan Ikhwan al-Muslimin yang diasaskan oleh Asy-syahid Imam Hasan Al-Banna pada akhir tahun empat puluhan. Sangat terpengaruh dengan keperibadian dan perjalanan hidup pengasas dan pemimpin agung pertubuhan itu yang telah ditembak mati oleh kakitangan kerajaan Malik Farouk pada tahun 1948.

Di dalam pertubuhan Ikhwan al-Muslimin, Syed Qutb pernah mendapat amanah memimpin majalah al-Ikhwan al-Muslimun, suara rasmi pertubuhan itu sehingga penerbitannya diharamkan oleh pihak yang berkuasa.

Pernah dilantik mewakili pertubuhannya di dalam badan pemerintah setelah kemenangan Revolusi Mesir pada 23 Julai 1952, hasil kerjasama pertubuhannya dengan pegawai-pegawai muda di dalam Angkatan Tentera Mesir.

Di dalam tahun 1954, beliau telah dihukum penjara selama 15 tahun kerana didakwa membuat pakatan sulit untuk membunuh Presiden Jamal Abdul Nasser, tetapi dengan masuk campur bekas Presiden Abdul Salam Arif dari Iraq, beliau telah dibebaskan pada akhir tahun 1964. Tidak berapa lama kemudian, beliau telah ditangkap semula dan dibicarakan oleh sebuah Mahkamah Khas Tentera di mana Asy-syahid Syed Qutb telah dijatuhkan hukuman mati di tiang gantung bersama dua orang rakan seperjuangannya iaitu Yusuf Hawasy dan Abdul Fattah Ismail. Bila ditanya tentang hukuman yang dijatuhkan ke atasnya itu, beliau telah menjawab dengan mengulum senyuman dengan katanya,"Mati syahid."

Buku Ma'alim fi ath-Thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan) merupakan hasil karyanya yang terakhir yang ditulis sebahagiannya di dalam penjara. Beberapa bab dari buku ini adalah petikan dari kitab tafsir beliau yang bertajuk Fi Zilal al-Quran (Di bawah Naungan Al-Quran) yang sangat terkenal itu.

0 shuriken:

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template