Bismillah...
Alhamdulillah, segala puji dan syukur hanya bagi Allah. Tuhan seru sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Rasul dan hambaNya, Muhammad saw. Semoga semua dalam keadaan sihat iman dan tubuh badan. Di samping membetulkan niat kita kembali agar hidup kita pada hari ini dan seterusnya hanya dan selama-lamanya kerana Allah. Sesungguhnya jika kamu ingin menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu [14:34, 16:18].
Lihatlah ke langit. Lihatlah di sekelilingmu. Lihatlah pada penciptaanNya. Lihatlah pada dirimu sendiri. Lihatlah manusia di sekelilingmu. Apakah yang kamu fikirkan?
Apabila aku melihat ke langit, aku merasakan sebuah kekuasaan yang tiada tolok bandingnya. Siapakah yang menciptakan semua ini? Besarnya. Di manakah sempadannya? Objek-objek "gargantuan" bergantungan. Kenapa ia tidak jatuh? Mesti ada "sesuatu" yang mengawal dan mengaturnya.
Apabila aku melihat di sekelilingku, aku melihat penciptaanNya. Gunung-ganang, pokok-pokok, haiwan yang pelbagai jenisnya dan pelbagai lagi keanehan. Aku terfikir, "Apa perlunya semua ini? Kenapa ia diciptakan? Bagaimana ia diciptakan pada awalnya dan ia berkembag-biak? Dan sudah tentu siapa yang menciptanya?". Aku terus berfikir.
Apabila aku melihat diriku sendiri, aku menjadi semakin buntu. Anehnya diriku. Apa yang aku fikirkan dapat difahami oleh jari-jemariku untuk menuliskan semua ini. Manusia cuba mencipta robot humanoid seperti Asimo. Malah di dalam dunia sains fiksyen, manusia mencipta "cyborg" yang dapat berfikir, bergerak dan mempunyai perasaan sama seperti manusia. Tapi itu semua tidak pernah sekali-kali sama seperti manusia. Manusia sangat unik. Setiap manusia berbeza antara satu sama lain. Aku yang tidak pernah belajar biologi semakin pelik. Perilaku otak, bagaimana ia mengawal pergerakan dan tingkah laku manusia?. Hati, adakah ia difahami sebagai "liver" sepertimana yang difahami para doktor? Jika begitu, bagaimana ia berfungsi mengawal perasaan manusia? Apakah sebenarnya hati? Kompleks. Sangat kompleks. Dan aku yakin, pasti ada sesuatu yang mengawalnya. Dan aku yakin semua itu diciptakan dengan tujuan-tujuannya.
Apabila aku melihat manusia, aku bersyukur kerana Allah dengan kasihNya menunjuki aku "jalan" itu. Jalan menuju keselamatan. Allah menunjuki aku apakah tujuan penciptaanku kerana aku melihat kebanyakan manusia tidak tahu kenapa dia diciptakan. Manusia robot. Adakah aku dan kamu tergolong di dalam golongan manusia robot? Aku melihat manusia dalam kesesatan, kecelaruan, kekusutan, ketidakseimbangan, kekecewaan, ketidakyakinan, kelemahan, ketidakadilan, kebodohan dan kematian. Lalu, apa yang harus aku lakukan? Menonton atau diam bersahaja?
Allahua'lam
0 shuriken:
Post a Comment