Saturday, November 01, 2008

Pendakwah dan Kekuatan Fizikal

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji dan syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan kita peluang untuk terus merasai nikmat hidup sebagai Muslim dan Mukmin. Dua nikmat terbesar, tiada bandingannya. Kesejahteraan kepada junjungan besar, Nabi Muhammad saw, uswah hasanah kita serta rahmat kepada sekalian alam. Juga kepada ahli bait baginda, para sahabat,tabi'in, tabi' tabi'in, salafussoleh dan mereka yang mengikuti mereka itu dengan baik hingga ke hari kiamat.

Sekadar mencoret sebentar sebelum keluar beriadah bersama member-member usrah. Riadah merupakan salah satu wasilah atau cara untuk merapatkan hubungan antara ahli-ahli usrah. Pembinaan ahli bukan sahaja terhad kepada fikri atau pemikiran tetapi juga kepada aspek jasadi atau fizikal. Dan ada aspek yang lain iaitu aspek ruhi atau rohani melalui wasilah qiamullail etc.

Pembinaan jasadi merupakan elemen penting kepada seorang muslim dan mukmin. Salah satu keperluan seorang da'i mukmin adalah qawiyyul jismi (kekuatan jasmani) seperti yang telah digariskan oleh Imam dakwah, Asy-syahid Imam Hasan Al-Banna. Dalam hadis shahih, Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya,"Seorang mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah." Kekuatan jasmani adalah penting terutama dalam mempersiapkan rijal-rijal yang akan memikul amanah jihad fisabilillah. Jihad d zaman moden ini bukan sekadar memerlukan taktik, strategi dan keperluan perang yang memadai malah turut melibatkan kekuatan fizikal.

Dakwah ini juga memerlukan rijal (pendukung) yang kuat untuk menyebarkan kebenaran Islam ke pelusuk dunia. Dalam sejarah kegemilangan Islam, pendukung-pendukung Islam yang terawal merupakan pemuda-pemuda yang gagah dan mempunyai otak yang brillian. Contoh seperti Mus'ab bin Umair, Umar bin al-Khattab, Khalid al-Walid, Usamah bin Zaid, Ali bin Abi Talib serta sederet nama lain yang terus diingat sebagai pemuda penegak panji-panji Islam.

Dalam dakwah juga, pendukung-pendukungnya akan sentiasa diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Penjara adalah tempat rehat bagi para ikhwan. Mereka diseksa dengan pelbagai seksaan yang mengerikan. Ketahanan fizikal menjadi taruhan bersama kekuatan hubungan dengan Sang Pencipta. Lalu mereka keluar sebagai pemenang atau syahid menemui Tuhannya.

Begitulah dakwah mengajar kami agar tidak mengesampingkan tuntutan-tuntutan jasmani. Dakwah yang syumul ini mengajar kami erti totalitas dan kesempurnaan. Aspek fikri, jasadi dan rohani merupakan 3 aspek yang tidak dapat dipisahkan. Oleh itu, wahai da'i-da'i mukmin, janganlah sekadar betah berbicara, ayuh, mulakan langkah. Jom riadah.

Wallahua'lam.

0 shuriken:

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template