Friday, October 31, 2008

Marilah Duduk Bersama Kami Sebentar Untuk Kita Beriman Sejenak

Bismillahirrahmanirrahim

Seorang mukmin penyeru agama Allah tidak akan terlepas dari tarikan-tarikan. Tarikan-tarikan yang akan sentiasa berulang-alik dalam hidupnya. Tarikan keimanan yang meluruskan niatnya dalam beramal islami, menambah kesungguhannya dalam bekerja dan menyedarkan dirinya kepada tanggungjawab mulia sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Lalu dengan itu ia berjaya menyebar kebaikan ke manapun ia pergi. Sebaliknya, ia juga terdedah kepada tarikan syaitan yang sentiasa berbisik ke dalam hatinya, menggelorakan hawa nafsunya, memicu pancainderanya ke arah perbuatan-perbuatan keji dan dosa. Yang melemahkan jiwanya dan menariknya ke arah cinta dunia. Lalu ia tenggelam dalam lumpur noda. Na'uzubillahiminzalik.

Adapun tarikan-tarikan ini akan terus aktif menarik manusia. Yang beruntung akan ditarik ke arah kutub keimanan manakala kerugian yang amat besar bagi mereka yang menjerumuskan dirinya ke arah kebinasaan dengan berafiliasi kepada thagut. Dengan segala fitrah penciptaan yang Islami, manusia tetap akan diuji dengan pelbagai fitnah dan tribulasi. Ujian yang menjadi penapis keimanan sehingga iman yang lahir adalah iman yang murni dan mendalam. Sehingga jelas antara benang hitam dan benang putih. Tidak ada benang kelabu.

Majlis-majlis tafakkur adalah kekuatan yang mampu menghalang diri mukmin dari ditarik oleh magnet syaitani. Seorang sahabat, Muaz bin Jabal mengatakan, "Ijlis bina nu'min sa'ah". Duduklah bersama kami sebentar untuk kita beriman sejenak. Ya, kerana duduk di majlis-majlis ilmu untuk beriman sejenak itu mampu membuatkan menguatkan magnet iman lalu melemahkan tarikan syaitan. Adapun pada masa sekarang, banyak majlis-majlis ilmu dan tafakkur mahupun tafaqquh seperti usrah, tazkirah, bayan, dan pelbagai lagi. Namun kering dari manusia. Lalu aku ulangi, marilah duduk bersama-sama kami sebentar untuk kita beriman sejenak. Agar aku dan kau tahu, Allah tak pernah mensia-siakan iman kita. Wallahua'lam.

1 shuriken:

Sutera Maya said...

ASSALAMUALAIKUM.......

kite harus pergi ke majlis ilmu agama agar iman kite akan sentiasa tetap dan tidak berkurang malah insyaAllah blh menambahkan iman...
hadir ke mjlis agama juga boleh menyucikan hati yang sentiasa dihujani lumpur... dan hati akan terus gelap jika kite sendiri tidak berusaha untuk menyucinya...

jiwa hamba yg sentiasa diisi dengan pengisian rohani akan mudah berasa resah jika jiwanya tidak diisi dengan pengisian rohani dlm tempoh masa yg singkt.

Template by - paley_11 | Daya Earth Blogger Template